JDT tempah slot pusingan 16 ACLE selepas atasi Vissel Kobe

Johor Darul Ta’zim (JDT) melangkah ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas menundukkan kelab Jepun, Vissel Kobe 1-0 dalam aksi peringkat liga Zon Timur di Stadium Sultan Ibrahim, malam Selasa.

Keputusan tersebut membolehkan skuad Harimau Selatan menamatkan saingan di kedudukan keenam dengan 11 mata, sekali gus berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Zon Timur untuk mara ke peringkat kalah mati.

Sejak wisel permulaan, JDT mempamerkan corak permainan agresif. Bergson da Silva hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga menerusi rembatan jarak jauh, namun percubaan itu berjaya diselamatkan penjaga gol pelawat, Shuichi Gonda.

Tekanan berterusan tuan rumah menghasilkan beberapa peluang lagi, termasuk percubaan Marcos Guilherme pada minit ke-13 yang turut digagalkan Gonda. Vissel Kobe turut mengancam menerusi Jean Patric pada pertengahan babak pertama, namun penjaga gol JDT, Andoni Zubiaurre, bertindak cemerlang mengekalkan kedudukan tanpa jaringan.

Gol JDT pada minit ke-38 tidak disahkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati berlaku kedudukan ofsaid dalam gerakan serangan tersebut. Situasi sama berulang pada babak kedua apabila jaringan Guilherme sekali lagi dibatalkan atas alasan serupa.

Kebuntuan akhirnya berakhir pada minit ke-77 apabila pemain gantian Jairo da Silva memintas bola sebelum melorongkan hantaran kepada Guilherme. Pemain import Brazil itu menyempurnakan peluang dengan rembatan rendah menewaskan Gonda, sekali gus menggegarkan lebih 30,000 penyokong tuan rumah.

Keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan, menghadiahkan JDT kemaraan ke pusingan 16 ACLE serta menutup episod kekalahan besar 1-5 kepada lawan sama pada Februari 2020.


Posted

in

by

Tags:

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *